Isnin, 13 Mei 2013

Muka Surat 1: Aku Bercerita oleh Ramlee Awang Murshid


Tajuk: Aku Bercerita

Penulis: Ramlee Awang Murshid

Penerbit: Alaf 21
Genre: Thriller
Bilangan muka surat: 601 muka surat
Cetakan: 2013
ISBN: 978-983-124-836-2



Sinopsis:
Berbeza dengan karya-karya sebelumnya, novel terbaru Ramlee Awang Murshid kali ini mengisahkan lima cerita yang tidak berkaitan antara satu sama lain. Kisah dimulakan dengan percutian seorang penulis ke Pulau Pinang untuk mencari idea penulisan bagi novelnya yang seterusnya. Namun penulis tersebut mengalami writer’s block yang pasti akan dialami setiap penulis buku. Dia pun mula menenangkan fikiran dengan berehat dan tidur seketika. Bangun sahaja dari tidur dia terkejut melihat sebuah karya berjudul ‘Bunian’ sudah siap ditulis dan tertera pada laptop miliknya. Dia pun membaca cerita tersebut. Gaya penulisan cerita tersebut tak jauh malah sebiji seperti penulisan biasanya. Tanpa berfikir panjang dia menganggap karya tersebut adalah milik dia yang dikarang dalam keadaan separuh sedar dan tiada orang lain yang menggunakan computer ribanya itu. Hari-hari seterusnya, dia masih dibelenggu writer’s block dan hari-hari itu juga dia didatangi pelbagai peristiwa pelik. Antaranya, didatangi watak-watak yang pernah beliau cipta dalam novel-novel sebelum ini. Contohnya, Tombiruo, Bangsa Polip dan lain-lain. Selain itu, empat lagi karya berjudul ‘Culik’, ‘Cinta Matiku’, ‘Sang Kancil’ dan ‘Cut’. Di hujung novel ini, satu kebenaran yang mengejutkan terbongkar tentang penulis tersebut. Ingin tahu kisah setiap karya tersebut? Ingin tahu kebenaran tentang penulis tersebut? Kenalah baca novel ini.


Komen:
Secara keseluruhannya, lima bintang daripada lima bintang saya berikan kepada buku ini. Saya memang minat dengan karya novelis thriller No. 1 Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Memang tidak mengecewakan. Kelima-lima cerita yang merupakan asas buku ‘Aku Bercerita’ ini masing-masing ada keistimewaannya. Tapi, saya paling suka dengan cerita ‘Cinta Matiku’. Bukan kisah cinta sembarangan tapi “Cinta matiku... hanya kepada bangsa, agama dan Negara.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan