Isnin, 13 Mei 2013

Muka Surat 2: Cinta... Tiada Akhirnya (Ombak Rindu 2) oleh Fauziah Ashari


Tajuk: Cinta... Tiada Akhirnya (Ombak Rindu 2)
Penulis: Fauziah Ashari
Penerbit: Intens Idea International
Genre: Cinta
Bilangan muka surat: 597 muka surat
Cetakan: 2012
ISBN: 978-983-43450-1-3

Sinopsis:

Hariz yang merupakan anak kandung Mak Jah dan Pak Dollah meneruskan legasi ibu angkatnya, Datuk Sufiah di Sufiah Holdings. Rumah tangganya dengan Izzah juga semakin intim. Malah Izzah kini disahkan mengandung beberapa minggu. Beberapa tahun ini, Izzah turut menyambung pelajarannya di UTM dan berkenalan pula dengan Musliha dan Hazirah, adik angkat Hariz. Mila Amylia pula semakin popular mengejar cita-citanya sebagai pelakon popular di Malaysia. Kehilangannya beberapa tahun lepas adalah untuk menyembunyikan diri daripada Hariz kerana mengandungkan anak kepada lelaki kesayangannya itu. Dia muncul kembali dan menyatakan perkara sebenarnya kepada Hariz. Namun, saat itu mereka cuma sahabat baik sahaja kerana telah bercerai. Kini, Mila sedang hangat bercinta dengan Aidil, seorang pengarah filem muda.

Kebahagiaan Izzah dengan Hariz sekejap sahaja kerana sejarah silamnya kini menghantuinya kembali. Pak Cik Tahar yang pernah memperkosanya dulu kini kembali menyamar sebagai pemandu peribadi suaminya tetapi menggunakan nama lain iaitu Pak Mok. Penampilan Pak Mok jauh sekali bezanya dengan Pak Cik Tahar yang dikenalinya. Lama-kelamaanya, Izzah mempercayai lakonan pak ciknya itu dan pada waktu itu dia percaya bahawa pak ciknya telah bertaubat. Izzah berjaya menipu Hariz untuk mendermakan wang sebanyak RM 25,000 kepada sebuah persatuan kebajikan. Hariz yang sangat mempercayai isterinya malah menyerahkan cek sebanyak RM 30,000. Tetapi, bila diketahui oleh Hariz bahawa wang itu sebenarnya untuk tujuan lain, rumah tangga mereka semakin dingin. Izzah masih merahsiakan perkara sebenar dari suaminya. Selang beberapa hari, pak ciknya meminta lagi wang untuk menuruti nafsu kaki judinya.

Apabila gagal menuruti kehendak pak ciknya, Izzah pula jadi mangsa. Pak Cik Tahar dengan kawan judinya Roland bertindak menculik Izzah untuk mendapatkan wang tebusan daripada Hariz. Namun, semasa ditangkap Roland telah bertindak menumbuk perut Izzah. Semasa dalam tahanan, dalam kesakitan akibat keguguran itu Izzah berjaya meloloskan diri. Namun, pergerakannya berjaya dihidu oleh Pak Cik Tahar. Semasa hendak melarikan diri daripada Pak Cik Tahar, Izzah telah terjatuh ke sebuah sungai semasa hendak menyeberangi sungai tersebut. Berita kematian Izzah menyebabkan hidup Hariz serba tak kena. Apakah kisah selanjutnya? Kenalah baca buku ini.


Komen:

Secara keseluruhannya, lima bintang daripada lima bintang saya berikan kepada buku ini. Sekuel kepada “Ombak Rindu” ini tidak menghampakan. Watak-watak dari buku pertama masih dikekalkan malah pertambahan watak dan perkembangan watak yang hanya muncul seketika daripada buku pertama turut ditekankan. Malah konflik demi konflik muncul terutamanya kenampakan belang sebenar adik kandung Hariz iaitu Salleh. Kisah Hariz bersambung ke “Rindu Cintaku” (Ombak Rindu 3).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan