Ahad, 2 Jun 2013

Muka Surat 11: Hijab Sang Pencinta (Bagaikan Puteri 3) oleh Ramlee Awang Murshid



Tajuk: Hijab Sang Pencinta (Bagaikan Puteri 3)
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Penerbit: Alaf21
Genre: Thriller/Fantasi
Bilangan muka surat: 503 muka surat
Cetakan: 2012
ISBN: 978-983-124-385-5



Sinopsis:
Kesinambungan dari pada siri novel ‘Bagaikan Puteri’ dan ‘Cinta Sang Ratu’ diteruskan dengan pengembaraan Laksamanan Sunan, Haryani dan Dani dalam ‘Hijab Sang Pencinta’. Laksamana Sunan yang dalam perjalanan dari Aceh ingin kembali ke Tanah Melayu menghadapi pelbagai dugaan di sepanjang perjalanannya. Antaranya, menghadapi manusia tunggangan kejahatan Taghut, Manggala yang asalnya manusia khunsa yang berasal dari Negara China. Siangnya menjadi laki-laki, malamnya menjadi perempuan. Kejahatan Manggala jauh lebih jahat berbanding Maharani Pulau Utara dulu. Selain itu, dia turut berjumpa dengan Guntur dan Sari, adik-beradik yang mengetuai gerakan Panji Tengkorak yang ingin membalas dendam atas kematian Nyi Burga Kelara dan Beragas (Jin Berantai). Namun, dengan ilmu yang sarat di dada dan tidak pernah meninggi diri, akhirnya dia Berjaya kembali ke Kampung Punggor. Sesampai di sana, masalah demi masalah pula muncul. Kehadiran Putri Kober Gandring yang mahu membalas dendam atas kematian Taming Sari dan kemurkaan Sultan Melaka terhadapnya dahulu. Di pertengahan cerita, Laksamana Sunan akhirnya terdampar ke abad ke-21 dan ditakdirkan bertemu dengan Haryani, bagaikan puteri dan Dani, Senggara. Bagaimanakah Laksamana Sunan menyesuaikan diri di era moden ini? Apakah pula cabaran yang menantinya? Sama-sama kita selami!



Komen:

Secara keseluruhannya, lima bintang daripada lima bintang saya berikan kepada buku ini. Kesinambungan daripada novel pertama dan kedua nampak selari. Pembaca juga dibawa bersama-sama mengimbau kembali kenangan pada novel pertama dan kedua dengan berkesan sekali. Nama-nama seperti Djailuh, Sadik, Rita, Nyi Burga Kelara, Beragas, Senggara, Sang Ratu, Maharani dan lain-lain diungkap kembali. Kisah pengembaraan Laksamana Sunan yang penuh debaran ini bersambung ke siri novel keempat iaitu ‘Cinta Sufi’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan